Respon Siti Nurhaliza Dinobat Wanita Ke-3 Terkaya Malaysia



TEMPOH hari, kami ada menyiarkan artikel perihal lima wanita terkaya di Malaysia yang turut menyenaraikan penyanyi tersohor negara, Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin.

Pendedahan laporan dari portal savemoney.my itu nyata mengejutkan Siti Nurhaliza apabila mengetahui namanya tersenarai sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia.

Bagaimanapun, menerusi sebuah akhbar tempatan, Siti menjelaskan penilaian jumlah kekayan sebanyak RM50 juta yang dilaporkan tidak begitu tepat.

Pada masa sama, diva popular itu akui secara peribadi dia kurang senang dengan berita yang sudah menjadi viral di laman sosial itu.

“Saya tidak begitu senang dengan jumlah yang dinyatakan, kerana saya masih bekerja keras dalam bidang seni serta perniagaan dan tidak begitu tepat untuk membuat penilaian berdasarkan jumlah yang dinyatakan,” katanya.

Siti yang juga merupakan pengasas kepada produk kecantikan jenama SimplySiti memberitahu, selain masih bekerja keras dalam bidang seni dia turut memberi tumpuan serius terhadap cabang perniagaan lain.

Bagaimanapun  isteri Datuk Khalid Jiwa ini meluahkan kesyukuran terhadap rezeki yang dikurniakan selama ini.

Lima wanita yang tersenarai dalam portal itu ialah pewaris pengasas Genting Highlands, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Michelle Yeoh, Dato’ Siti Nurhaliza, Pauline Chai dan Datuk Nicol Ann David. – MYNEWSHUB.CC



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...